Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Iraq telah melancarkan operasi untuk menawan semula Tal Afar, salah satu bandar terakhir di negara itu yang ditawan oleh kumpulan pengganas Daesh.
Dalam satu ucapan yang disiarkan stesen televisyen tempatan, Perdana Menteri Iraq, Haidar al-Abadi berkata, anggota kumpulan berkenaan diberikan pilihan sama ada mahu menyerah diri atau mati.
“Seluruh dunia bersama anda.
Pertempuran itu pasti berlaku dan kejayaan akan datang,” ujar Haider.
Tentera Iraq menyasarkan Tal Afar selepas berjaya menawan kembali Mosul, yang merupakan kubu kuat Daesh.
Pesawat perang Iraq telah melancarkan bom ke arah kedudukan Daesh di bandar berkenaan sejak beberapa hari lalu, sebagai persiapan untuk operasi tersebut.
Tal Afar dikelilingi oleh tentera kerajaan dan kumpulan militan Syiah di bahagian selatan dan pejuang Kurdish Peshmerga di utara.
Tal Afar yang majoriti penduduknya adalah puak Syiah Muslim, jatuh ke tangan Daesh pada 2014.
Selain Tal Afar, Daesh turut menguasai wilayah sekitar Hawija dan kawasan dari Ana ke al-Qaim di lembah Sungai Euphrates.– AFP
21 Ogos 2017 - 14:55
News ID: 849747
Tentera Iraq telah melancarkan operasi untuk menawan semula Tal Afar, salah satu bandar terakhir di negara itu yang ditawan oleh kumpulan pengganas Daesh.